Tidak sampai sebulan lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 51.
Namun, apabila kita singkap kembali kadar sosial, dakwah orang Islam tidak meluas. Sepatutnya, apabila kemerdekaan yang menjangkau usia sebegini ini populasi orang yang memeluk Islam sepatutnya lebih ramai daripada orang yang bukan Islam.
Namun, semakin lama situasi untuk memahami umat Islam semakin kusut apabila salah tanggapan orang bukan Islam terhadap orang Islam semakin rumit. Hal ini semakin kritikal apabila orang Islam sendiri tidak dapat mengamalkan Islam secara menyeluruh. Hakikatnya, Islam yang diajar itu sudah cukup indah dan sempurna. Inilah kesalahan orang Islam yang tidak pernah peduli untuk cuba menyelesaikan salah tanggapan ini terhadap orang bukan Islam.
Penulis tidak bermaksud untuk menjadikan orang Islam dan bukan Islam bergaduh, tetapi biarlah kita sama-sama memahami antara satu sama lain. Sebagai contoh, disebabkan orang Islam diberi keutamaan di negara ini sebagai salah sebuah negara Islam. Oleh itu, jika orang bukan Islam melakukan sesuatu yang boleh menyentuh sensitiviti orang Islam, orang Islam akan terus melenting.
Cuba kita fikir balik pernyataan tadi berdasarkan cerita ini. Satu perjumpaan diadakan beberapa rtahun lalu, bersama orang cina yang berada di satu kawasan telah diadakan dalam usaha untuk membawa mereka memahami Islam. Situasi tersebut sangat meriah namun, semua orang cina 'menarik muka' apabila makanan yang dijamu kepada mereka berasaskan daging. Benarkah rakyat di Malaysia hidup berbilang kaum ini betul-betul mengenali dan memahami agama yang lain di Malaysia?
Cerita yang dinyatakan tadi jelas menunjukkan rakyat di Malaysia seolah-olah tidak 'mahu' ambil peduli mengenai agama lain. Menghidang daging kepada kaum cina yang menganut agama Buddha seharusnya dijadikan iktibar kerana tidak semua bangsa cina yang menganut agama Buddha makan makanan yang berasaskan daging. Bayangkan kita di letakkan dalam situasi mereka? Mereka menjemput orang Islam memakan daging khinzir. Tentunya kita terus akan melenting dan terus menuduh bahawa mereka tidak menghormati agama kita.
Fikirlah secara mendalam adakah kita juga menghormati agama mereka? Bukankah sebelum kita mahu orang menghormati kita, kita sepatutnya menghormati orang lain terlebih dahulu? Koreksi diri, renungkan kembali betapa lesunya perjuangan orang Islam di Malaysia dalam memastikan orang berlainan agama meletakkan persepsi yang paling baik untuk agama yang paling sempurna dan tiada tolok bandingnya ini. Tidak cukupkah 50 tahun kemerdekaan yang ita kecapi untuk menjelaskan salah tanggapan ini kepada mereka yang mungkin tercari-cari jalan kebenaran dan sedang menuju untuk mengenali agama Allah ini.
Siapa lagi yang bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara ini melainkan kita penganut agama Islam...
Wallahua'lam.