Isnin, 19 Mei 2008

“Adik mahu jadi Izrail!”

“Adik mahu jadi Izrail!” Begitu kata adik usai aku bacakan biografi Izrail alahissalam, malaikat maut yang wajib diimani oleh aku, adik dan sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam. Jangankan adik, sesiapa sahaja di bumi Gaza yang berdarah ini mahu menjadi Izrail agar bisa kami ambil nyawa tentera Zionis yang saban hari berusaha memastikan hidup kami kaya dengan derita. Dari Rafah sampai ke Bait Hanun, kamu tidak akan berjumpa satu meter persegi tanah yang sunyi daripada kelongsong peluru tentera Zionis. Kalau kamu berlari dari pesisir Mediteranean di Elei Sinai ke Erez kemudian terus ke Kem Khan Younis tempat aku dan adik berlindung sekarang ini, kamu tak akan temui satu inci pun tanah yang merdeka daripada darah penduduk Palestin.

Dua tahun yang sudah, aku, ibu, ayah dan adik tinggal di Rafah. Waktu itu umurku baru mencecah 17 tahun. Sweet seventeenth. Tidak, tidak... Tahun yang pergi dan tahun yang singgah tak pernah lekang dengan derita. Kata ibu, aku anak gadis yang cukup cantik. Kerana kecantikan itu, ibu melarang aku keluar sendirian. Berjaga-jaga kata ibu. Kata ibu lagi, kamu tidak tahu bila dan di mana kamu akan terserempak dengan haiwan. Lagi kata ibu, kalau kamu keluar, kamu belum tentu akan pulang. Oh ya... waktu itu aku agak rapat dengan Rachel Corrie. Ya Rachel. Pernah kamu terbaca mel elektronik Rachel dari Gaza? Tentang betapa derita kami anak-anak Palestin hidup di celahan puing bangunan yang runtuh dibedil rejim Zionis. Kadang-kadang aku tertawa dengan gelagat Rachel dengan lidah Inggerisnya sewaktu Rachel cuba menuturkan perkataan Arab. Rachel, gadis Inggeris yang berhati waja. Kadang-kadang aku rasakan dia itu lebih memahami kami berbanding saudara-saudara seagama dengan kami.

“Kaif Bush? Kaif Sharon?” tanya anak-anak kecil termasuk adik kepada Rachel. “Bagaimana Bush? Bagaimana Sharon?” Rachel kulihat menggaru kepalanya.“Bush majnoon, Sharon majnoon.” Pecah ketawa kami waktu Rachel mengatakan Bush dan Sharon gila dengan lidah Inggerisnya. Ya, barang kali Rachel benar. Bush gila, Sharon gila. Sewaktu Sharon diserang angin ahmar, kami jangkakan penggantinya mungkin akan punya dasar yang lebih lembut daripada Sharon. Ya, aku silap. Kalau Rachel masih hidup, barang kali anak-anak kecil akan bertanya, “Kaif Bush? Kaif Sharon? Kaif Olmert?” Mungkin akan segera disambut Rachel, “Bush majnoon, Sharon majnoon, Olmert majnoon.” Dan akan segera pula kami sambut dengan derai ketawa yang mungkin dihantar angin Mediteranean sampai ke Tel Aviv. Suatu ketika Rachel diserang selsema. Makcik Aisyah menjaga Rachel seolah-olah anak sendiri. Ya, Rachel sangat baik. Kadang-kadang aku rasakan dia lebih mulia daripada aku sendiri. Masakan tidak, dari Amerika dia ke sini, ke Rafah yang langitnya tidak pernah sunyi daripada peluru dan roket buatan negaranya sendiri. “Saya aktivis keamanan,” kata Rachel sewaktu mengunjungi rumahku yang hanya beberapa blok jauh dari kediamannya. Oh ya, Makcik Aisyah dan Rachel. Sering makcik tanyakan pada Rachel tentang ibunya, mengingatkan Rachel supaya menghubungi mereka, sampai suatu ketika Makcik Aisyah memeluk Rachel bila Rachel maklumkan bahawa ibunya berterima kasih kerana sudi menjaganya persis anak sendiri. Ya, Rachel... Aktivis keamanan yang mengorbankan segala bentuk kesenangan untuk bersama kami di Rafah. Beberapa bulan selepas ibu dan ayah membawa kami pindah ke Khan Younis, kami menerima berita Rachel mati dibunuh Zionis. Di saat-saat akhir hidupnya, Rachel dengan berani mendepangkan tangan di hadapan bulldozer yang sedang mara untuk merobohkan blok penempatan penduduk Arab Palestin. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Makcik Aisyah. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Nidal, jiran aku yang telah fasih berbahasa Inggeris dek didikan Rachel. Akhirnya mereka terdiam, Makcik Aisyah menangis. Nidal menangis. Tubuh Rachel pecah digilis bulldozer dan blok bangunan tetap hancur. Begitu yang diceritakan kepadaku oleh beberapa teman yang berpindah ke Khan Younis selepas peristiwa tersebut. Rachel, gadis manis, aktivis keamanan dan teman baru yang sanggup mati kerana kami.



Tiada ulasan:

Permulaan perjalanan seorang pelajar ijazah sarjana

Alhamdulillah, Allah masih memberikan peluang untuk jari-jemari ini untuk memberi manfaat kepada pembaca sekalian. Harini, penulis akan menc...